Mr. Muhamad Aisamuddin Ridhuan

MODUL S.K.O.R: KBAT MATEMATIK UPSR

Abstract

Matematik merupakan subjek yang penting untuk dipelajari dan dikuasai oleh setiap murid. Namun ramai murid melaporkan bahawa mereka menghadapi masalah untuk mempelajari apatah lagi menguasai konsep serta kemahiran matematik. Ibu bapa juga merungut bahawa mata pelajaran Matematik kini semakin susah disebabkan pengenalan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kurikulum persekolahan, lantaran mereka menghadapi kesukaran untuk membantu anak-anak menyiapkan tugasan kerja-kerja sekolah dirumah.

Salah satu masalah utama yang dihadapi oleh murid dalam matapelajaran matematik adalah menjawab soalan penyelesaian masalah atau ‘soalan berbentuk ayat’. Harus ditegaskan bahawa antara matlamat pembelajaran matematik adalah untuk meningkatkan kemahiran individu dalam menyelesaikan masalah. Oleh itu, adakah memadai sekiranya pendekatan pembelajaran matematik di dalam bilik darjah hanya berfokuskan latih tubi semata-mata.

Menurut Polya (1957), langkah utama dalam penyelesaian masalah matematik berayat ialah mentaksir dan memahami masalah tersebut. Namun begitu, murid-murid sering menghadapi kesulitan dalam penyelesaian masalah matematik berayat apabila kehendak soalan tidak dapat difahami dan tidak mendapat gambaran yang tepat terhadap masalah yang diberi.

Atas faktor-faktor ini , modul S.K.O.R. (Serlahkan, Keluarkan, Operasi, Rumusan) telah dibina dan digunakan untuk membimbing murid menguasai soalan penyelesaian masalah KBAT dalam matapelajaran matematik.Kajian ini menggunakan rekabentuk ujian pra dan pasca terhadap 20 orang murid tahun 6 bagi mengetahui penerimaan murid tahun 6 terhadap modul ini serta menilai keberkesanan modul SKOR dalam meningkatkan pencapaian matematik mereka.

Dapatan kajian menunjukkan kesemua murid yang mengikuti modul ini mengalami peningkatan gred dimana seramai n=12 murid yang pada awalnya memperoleh gred E berjaya mendapat gred A n=7, gred B n=4, gred C n=1, manakala murid yang memperoleh gred D Berjaya mendapa gred A n=5, gred B n=1, dan murid yang pada awalnya memperoleh gred C, berjaya mendapat gred A, n=2 dalam peperiksaan Percubaan UPSR.

Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa murid-murid ini telah menggunakan teknik yang dipelajari daripada modul SKOR. Maka, dapat disimpulkan bahawa, penggunaan modul SKOR bukan sahaja berjaya untuk menarik minat dan meningkatkan penglibatan aktif murid dalam menjawab soalan penyelesaian masalah malah telah meningkatkan pencapaian mereka.