Dr. Zarina Begam Abdul Kadir

SULAMAN USAHA, KILAUAN JAYA

Abstract

Profesion keguruan pada abad ke-21 terdedah kepada pelbagai cabaran baharu yang berbentuk kebendaan, intelektual, pemikiran, kerohanian dan isu berkaitan dengan masalah etika. Bagi mendepani cabaran tersebut para pendidik perlu membina dan membentuk pelajar agar mampu bangkit dan membina kekuatan untuk menentukan masa depan yang cerah. Guru perlu melahirkan generasi berilmu untuk berfikir, bertindak dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop yang global dan teknologi terkini serta mampu menangani perubahan global.

Dalam memastikan ianya tercapai, para pendidik seharusnya mengorak langkah melengkapkan diri sebagai pembina dan pemimpin ilmu khususnya berasaskan teknologi. Kertas ini akan mengetengahkan kaedah-kaedah terkini yang mampu mencetuskan keseronokan di hati pelajar juga melahirkan pelajar yang kompeten dan relevan untuk negara masa kini.

Pendidik yang berjaya akan mampu menangani pengajaran dan pembelajaran bagi membudayakan anak didik dengan amalan akhlak dan nilai-nilai murni. Para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf ke-21. Sulaman usaha yang pendidik lakukan kelak akan menghasilkan kejayaan yang hebat. Dengan sedikit idea baru dan cetusan inovasi akan memberi impak yang besar dalam dunia pendidikan.